45 Tahun Silat Cekak Ustaz Hanafi


Bermula pada tahun 1965 sehinggalah 2009, Silat Cekak Hanafi yang telah dilahirkan semula pada 28 Disember 1965 oleh Allahyarham Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad telah wujud selama 45 tahun. Di dalam tempoh masa yang hampir setengah abad itu, pelbagai cabaran dan halangan yang telah dihadapi di dalam memperjuangkan Silat Cekak Hanafi ini. Kini dengan kebangkitan baru di dalam Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi, usaha yang lebih giat sedang dilaksanakan di dalam merangka dasar dan pelbagai aktiviti untuk memajukan persatuan dan mengembalikan kegemilangan Silat Cekak Hanafi. Sehubungan itu, semua ahli dapat bersama bergabung tenaga ke arah merealisasikan agenda Persatuan dan pergerakan Silat Cekak Hanafi ini.

Melalui rentetan peristiwa yang telah berlaku sepanjang 2006-2008, kini Persatuan perlu berusaha ke arah mengembalikan imej dan keterampilan Silat Cekak Hanafi pada pandangan masyarakat amnya dan para ahli khususnya. Pendekatan dan didikan Ustaz Hanafi haruslah menjadi sandaran dalam memastikan Silat Cekak Hanafi akan tetap unggul dan dinamik sepanjang zaman. Untuk merealisasikan hasrat ini, Persatuan harus mempunyai peruntukan dana yang mencukupi dan tidak mengekang pergerakan Persatuan dan persilatan. Maka dengan itu, 45 Tahun Silat Cekak Hanafi akan disambut dengan usaha-usaha menjana pendapatan sepanjang tahun dan untuk tahun-tahun yang akan datang.

Semangat setiakawan dan bersatu-padu yang amat dititikberatkan dalam Silat Cekak Hanafi merupakan tunjang yang mampu memastikan Persatuan terus tumbuh dengan subur dan cemerlang. Para ahli tanpa mengira latar belakang, usia dan asal pembelajaran diharap dapat bersama menggarap idea dan menyumbang tenaga dalam menjayakan sebuah Persatuan yang disegani, mampu berdiri sendiri dan mampan dengan kesepakatan anggotanya. Justeru itu, beberapa program telah dirancang sepanjang tahun 2010 sebagai usaha untuk menyempurnakan agenda Persatuan untuk lebih disegani, stabil dari segala segi dan kukuh dalam perpaduan. Pada masa yang sama, perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad dapat diteruskan dengan lebih yakin dan bersemangat.

OBJEKTIF

  • Mengembalikan imej dan keterampilan Persatuan ke satu tahap yang membanggakan di dalam memartabatkan agama, budaya dan bangsa tanpa mengira latar belakang pembelajaran Silat Cekak Hanafi;
  • Menjana pendapatan bagi kelancaran pergerakan Persatuan dari setiap aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun; dan
  • Menggalakkan penglibatan ahli lama dan baru, serta menarik semula ahli yang kurang/tidak aktif untuk kembali mengimarahkan Persatuan dengan melahirkan keyakinan dan semangat memperjuangkan Silat Cekak Hanafi secara bersama dan bersatupadu.


TEMA

"SATU PEMIKIRAN SATU TUJUAN"

CADANGAN PROGRAM

Beberapa aktiviti utama telah dirancang untuk 45 Tahun Silat Cekak Hanafi ini. Berikut merupakan aktivit-aktiviti tersebut dan bulan aktiviti tersebut akan dijalankan:

i. Pra Pelancaran 45 Tahun Silat Cekak Hanafi (12 Disember 2009)

ii. Hari Tenaga Pengajar (HTP) 2010/ 1430H & Pelancaran 45 Tahun SCH (16 Januari 2010)

iii. Kembara 45 Tahun Silat Cekak Hanafi (April 2010)

iv. Majlis Anugerah Kecemerlangan & Makan Malam Utama (Jun 2010)

v. Wajadiri Kebangsaan (31 Julai 2010)

vi. Pertandingan Golf Amal (Julai 2010)

vii. Majlis Makan Malam Penghargaan 45 Tahun SCH (November 2010)

Asal Usul Silat Cekak Ustaz Hanafi


Dalam membicarakan asal usul sesuatu silat maka ia dapat dilihat dari 3 aspek yang utama. Pertama ialah aspek siapakah yang mencipta silat dan susur galur perguruan yang menunjukkan bagaimana silat tersebut berkembang. Kedua adalah dari segi aspek tempat berasalnya silat tersebut dan aspek ketiga adalah asal dan asas pergerakan silat.

Bagi penulisan kali ini, perbincangan akan mengupas aspek kedua dan aspek ketiga daripada kesemua aspek yang disebutkan.

Tempat Asal Silat Cekak Ustaz Hanafi

Berdasarkan 3 faktor yang boleh dipercayai, silat ini dipercayai berasal dari utara Tanah Melayu iaitu negeri Kedah Darul Aman.

Buktinya, yang pertama silat ini menggunakan istilah 'cekak'. Perkataan 'cekak' ini telah begitu sebati dengan masyarakat utara Tanah Melayu sehingga dijadikan simpulan bahasa 'Makan Cekak' yang memberi makna kesanggupan dan bertanggungjawap dalam melaksanakan sesuatu perkara. Justeru itu, istilah cekak ini amat sinonim dengan orang Kedah. Maka kewajaran silat ini berasal dari bumi Kedah tidak dapat disangkal lagi.

Faktor kedua adalah berdasarkan parang lading yang menjadi senjata rasmi Silat Cekak Hanafi. Penelitian telah dilakukan dan didapati bahawa tiada silat lain di bumi Melayu dan bahagian-bahagian lain dunia yang menjadikan parang lading sebagai senjata rasmi mereka. Boleh dikatakan parang lading adalah tidak biasa disebut oleh orang dari tempat lain. Namun parang lading amat rapat dan menjadi kebiasaan kepada orang-orang yang berasal dari utara Tanah Melayu, terutamanya Kedah.

Faktor ketiga adalah dari lidah guru dan guru-guru Silat Cekak yang terdahulu sendiri. Dan salahsilah perguruan menunjukkan bahawa guru terawal yang diketahui adalah Panglima Ismail yang berasal dari Kedah.


Asal Pergerakan Silat Cekak

Gerakan-gerakan di dalam suatu silat atau seni membela diri itu dapat menunjukkan asal pergerakan dalam silat tersebut. Perkara ini juga akan lebih difahami jika faktor nama juga diambil kira. Terdapat banyak silat yang pergerakannya diambil dari pergerakan haiwan dan dinamakan pula dengan nama haiwan tersebut.

Pergerakan Silat Cekak Hanafi adalah berasal dari gerak-geri semulajadi seorang manusia. Daripada kaedah menunggu serangan hingga ke kaedah tangkisan dan pukulannya adalah berasaskan pergerakan normal manusia yang tidak perlu dipaksa-paksa dan tidak memerlukan kekuatan yang luar biasa untuk mengamalkannya (gerak sukan).

Cara berdiri mempertahankan dirinya serta kaedah-kaedah asasnya adalah berasal dari pergerakan solat. Maka Silat Cekak Hanafi adalah silat yang berteraskan gerak semulajadi manusia.

Maka berdasarkan kupasan ringkas dari dua aspek utama ini dapat memberi gambaran tentang asal-usul Silat Cekak Hanafi yang asli dari segi asal dan pergerakannya.

Pemberitahuan Sambutan Hari Tenaga Pengajar


SAMBUTAN HARI TENAGA PENGAJAR

DAN

PELANCARAN 45 TAHUN

Silat Cekak Hanafi


16 Januari 2010 (Sabtu)

Masa: 8.00 Pagi

Pakaian: Baju Koporat & Kemas

Tempat: Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya

(MPAJ) Pandan Indah

Semua Ahli Dijemput Hadir


Pihak Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia akan menganjurkan Hari Tenaga Pengajar dan Pelancaran Perayaan Ulangtahun ke-45 Silat Cekak Ustaz Hanafi. Pihak persatuan akan memberi tauliah keseluruh tenaga pengajar Silat Cekak Ustaz Hanafi seluruh Malaysia. Bertemakan "Satu Pemikiran Satu Tujuan", pihak persatuan juga akan turut melancarkan Perayaan Ulangtahun Silat Cekak Hanafi yang ke-45 tahun dan ianya bakal memberi dimensi baru dalam dunia persilatan. Saudara saudari dijemput hadir untuk meramaikan dan berkenalan dengan warga Cekak dari seluruh Malaysia.

Pengenalan Silat Cekak Ustaz Hanafi

Silat Cekak Ustaz Hanafi ialah Seni Silat Cekak yang benar-benar di amal dan dianjurkan oleh Allahyarham YM Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad, baik dari segi kaedah pembelajaran, konsep, falsafah, prinsip, pegangan, kerohanian dan pembawaannya.

Seni silat ini telah diamalkan oleh keluarga diraja dan panglima-panglima kanan di Negeri Kedah Darul Aman di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin. Pengamal Silat Cekak yang paling lama diketahui ialah Panglima Ismail. Panglima Ismail telah menurunkan silat ini kepada Panglima Tok Rashid yang kemudiannya mengamanahkan silat ini kepada Encik Yahya Said dengan pesanan supaya menyerahkan balik silat ini kepada anak cucunya dari Kedah. Pada Tahun 1965, YM Ustaz Hanafi Hj. Ahmad telah mengambil balik silat ini dari Encik Yahya Said.

Sejak dilahirkan kembali oleh Allahyarham Ustaz Hanafi Hj. Ahmad, maka bermulalah era baru bagi Silat Cekak ini. Beliau telah memberi semangat dan pendekatan baru serta berjaya mengangkat martabat pergerakan Seni Silat Cekak sebagai suatu pergerakan yang disegani oleh rakan dan lawan, yang mampu terus memberi sumbangan positif kepada masyarakat.

Silat ini berjaya menarik ribuan ahli dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan cerdik pandai dan profesional.

Sekapur Sireh Pembuka Bicara



Assalamualaikum dan Selamat Datang,

Tujuan dibangunkan blog Pusat Latihan Cekak Hanafi Damansara adalah bertujuan sebagai medium komunikasi dan informasi tentang Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi dan khususnya di Pusat Latihan Kota Damansara sendiri. Insyallah, di dalam blog ini kami akan menyediakan informasi terkini dan sedikit sebanyak dapat membantu kalian mengenali seni budaya Melayu ini.


Anjuran


Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia


dengan kerjasama
Persatuan Penduduk Seksyen 6 Kota Damansara