Dalam membicarakan asal usul sesuatu silat maka ia dapat dilihat dari 3 aspek yang utama. Pertama ialah aspek siapakah yang mencipta silat dan susur galur perguruan yang menunjukkan bagaimana silat tersebut berkembang. Kedua adalah dari segi aspek tempat berasalnya silat tersebut dan aspek ketiga adalah asal dan asas pergerakan silat.

Bagi penulisan kali ini, perbincangan akan mengupas aspek kedua dan aspek ketiga daripada kesemua aspek yang disebutkan.

Tempat Asal Silat Cekak Ustaz Hanafi

Berdasarkan 3 faktor yang boleh dipercayai, silat ini dipercayai berasal dari utara Tanah Melayu iaitu negeri Kedah Darul Aman.

Buktinya, yang pertama silat ini menggunakan istilah 'cekak'. Perkataan 'cekak' ini telah begitu sebati dengan masyarakat utara Tanah Melayu sehingga dijadikan simpulan bahasa 'Makan Cekak' yang memberi makna kesanggupan dan bertanggungjawap dalam melaksanakan sesuatu perkara. Justeru itu, istilah cekak ini amat sinonim dengan orang Kedah. Maka kewajaran silat ini berasal dari bumi Kedah tidak dapat disangkal lagi.

Faktor kedua adalah berdasarkan parang lading yang menjadi senjata rasmi Silat Cekak Hanafi. Penelitian telah dilakukan dan didapati bahawa tiada silat lain di bumi Melayu dan bahagian-bahagian lain dunia yang menjadikan parang lading sebagai senjata rasmi mereka. Boleh dikatakan parang lading adalah tidak biasa disebut oleh orang dari tempat lain. Namun parang lading amat rapat dan menjadi kebiasaan kepada orang-orang yang berasal dari utara Tanah Melayu, terutamanya Kedah.

Faktor ketiga adalah dari lidah guru dan guru-guru Silat Cekak yang terdahulu sendiri. Dan salahsilah perguruan menunjukkan bahawa guru terawal yang diketahui adalah Panglima Ismail yang berasal dari Kedah.


Asal Pergerakan Silat Cekak

Gerakan-gerakan di dalam suatu silat atau seni membela diri itu dapat menunjukkan asal pergerakan dalam silat tersebut. Perkara ini juga akan lebih difahami jika faktor nama juga diambil kira. Terdapat banyak silat yang pergerakannya diambil dari pergerakan haiwan dan dinamakan pula dengan nama haiwan tersebut.

Pergerakan Silat Cekak Hanafi adalah berasal dari gerak-geri semulajadi seorang manusia. Daripada kaedah menunggu serangan hingga ke kaedah tangkisan dan pukulannya adalah berasaskan pergerakan normal manusia yang tidak perlu dipaksa-paksa dan tidak memerlukan kekuatan yang luar biasa untuk mengamalkannya (gerak sukan).

Cara berdiri mempertahankan dirinya serta kaedah-kaedah asasnya adalah berasal dari pergerakan solat. Maka Silat Cekak Hanafi adalah silat yang berteraskan gerak semulajadi manusia.

Maka berdasarkan kupasan ringkas dari dua aspek utama ini dapat memberi gambaran tentang asal-usul Silat Cekak Hanafi yang asli dari segi asal dan pergerakannya.