Silat Cekak Ustaz Hanafi ialah Seni Silat Cekak yang benar-benar di amal dan dianjurkan oleh Allahyarham YM Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad, baik dari segi kaedah pembelajaran, konsep, falsafah, prinsip, pegangan, kerohanian dan pembawaannya.

Seni silat ini telah diamalkan oleh keluarga diraja dan panglima-panglima kanan di Negeri Kedah Darul Aman di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin. Pengamal Silat Cekak yang paling lama diketahui ialah Panglima Ismail. Panglima Ismail telah menurunkan silat ini kepada Panglima Tok Rashid yang kemudiannya mengamanahkan silat ini kepada Encik Yahya Said dengan pesanan supaya menyerahkan balik silat ini kepada anak cucunya dari Kedah. Pada Tahun 1965, YM Ustaz Hanafi Hj. Ahmad telah mengambil balik silat ini dari Encik Yahya Said.

Sejak dilahirkan kembali oleh Allahyarham Ustaz Hanafi Hj. Ahmad, maka bermulalah era baru bagi Silat Cekak ini. Beliau telah memberi semangat dan pendekatan baru serta berjaya mengangkat martabat pergerakan Seni Silat Cekak sebagai suatu pergerakan yang disegani oleh rakan dan lawan, yang mampu terus memberi sumbangan positif kepada masyarakat.

Silat ini berjaya menarik ribuan ahli dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan cerdik pandai dan profesional.