Posted by
Cekak Hanafi Kota Damansara
Bermula pada tahun 1965 sehinggalah 2009, Silat Cekak Hanafi yang telah dilahirkan semula pada 28 Disember 1965 oleh Allahyarham Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad telah wujud selama 45 tahun. Di dalam tempoh masa yang hampir setengah abad itu, pelbagai cabaran dan halangan yang telah dihadapi di dalam memperjuangkan Silat Cekak Hanafi ini. Kini dengan kebangkitan baru di dalam Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi, usaha yang lebih giat sedang dilaksanakan di dalam merangka dasar dan pelbagai aktiviti untuk memajukan persatuan dan mengembalikan kegemilangan Silat Cekak Hanafi. Sehubungan itu, semua ahli dapat bersama bergabung tenaga ke arah merealisasikan agenda Persatuan dan pergerakan Silat Cekak Hanafi ini.
Melalui rentetan peristiwa yang telah berlaku sepanjang 2006-2008, kini Persatuan perlu berusaha ke arah mengembalikan imej dan keterampilan Silat Cekak Hanafi pada pandangan masyarakat amnya dan para ahli khususnya. Pendekatan dan didikan Ustaz Hanafi haruslah menjadi sandaran dalam memastikan Silat Cekak Hanafi akan tetap unggul dan dinamik sepanjang zaman. Untuk merealisasikan hasrat ini, Persatuan harus mempunyai peruntukan dana yang mencukupi dan tidak mengekang pergerakan Persatuan dan persilatan. Maka dengan itu, 45 Tahun Silat Cekak Hanafi akan disambut dengan usaha-usaha menjana pendapatan sepanjang tahun dan untuk tahun-tahun yang akan datang.
Semangat setiakawan dan bersatu-padu yang amat dititikberatkan dalam Silat Cekak Hanafi merupakan tunjang yang mampu memastikan Persatuan terus tumbuh dengan subur dan cemerlang. Para ahli tanpa mengira latar belakang, usia dan asal pembelajaran diharap dapat bersama menggarap idea dan menyumbang tenaga dalam menjayakan sebuah Persatuan yang disegani, mampu berdiri sendiri dan mampan dengan kesepakatan anggotanya. Justeru itu, beberapa program telah dirancang sepanjang tahun 2010 sebagai usaha untuk menyempurnakan agenda Persatuan untuk lebih disegani, stabil dari segala segi dan kukuh dalam perpaduan. Pada masa yang sama, perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad dapat diteruskan dengan lebih yakin dan bersemangat.
OBJEKTIF
- Mengembalikan imej dan keterampilan Persatuan ke satu tahap yang membanggakan di dalam memartabatkan agama, budaya dan bangsa tanpa mengira latar belakang pembelajaran Silat Cekak Hanafi;
- Menjana pendapatan bagi kelancaran pergerakan Persatuan dari setiap aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun; dan
- Menggalakkan penglibatan ahli lama dan baru, serta menarik semula ahli yang kurang/tidak aktif untuk kembali mengimarahkan Persatuan dengan melahirkan keyakinan dan semangat memperjuangkan Silat Cekak Hanafi secara bersama dan bersatupadu.
TEMA
"SATU PEMIKIRAN SATU TUJUAN"
CADANGAN PROGRAM
Beberapa aktiviti utama telah dirancang untuk 45 Tahun Silat Cekak Hanafi ini. Berikut merupakan aktivit-aktiviti tersebut dan bulan aktiviti tersebut akan dijalankan:
i. Pra Pelancaran 45 Tahun Silat Cekak Hanafi (12 Disember 2009)
ii. Hari Tenaga Pengajar (HTP) 2010/ 1430H & Pelancaran 45 Tahun SCH (16 Januari 2010)
iii. Kembara 45 Tahun Silat Cekak Hanafi (April 2010)
iv. Majlis Anugerah Kecemerlangan & Makan Malam Utama (Jun 2010)
v. Wajadiri Kebangsaan (31 Julai 2010)
vi. Pertandingan Golf Amal (Julai 2010)
vii.
Majlis Makan Malam Penghargaan 45 Tahun SCH (November 2010)